Kepimpinan
KEPIMPINAN : Memimpin Dan Dipimpin
Kepimpinan bukanlah satu isu baru yang seringkali diperbahaskan. Namun adakah disedari bahawa selama hari ini kehidupan kita lebih kepada memimpin atau dipimpin? Konteks kepimpinan ini sering dilihat melalui gaya seseorang itu mengurus sesebuah organisasi. Tetapi secara amnya, dalam kehidupan ini kita kadangkala memimpin dan tidak terlepas juga sebagai sebahagian daripada orang yang dipimpin. Perbezaannya hanyalah pada situasi seseorang itu berada sama ada sesama rakan sekerja, di rumah mahupun dalam organisasi. Dengan demikian, terbitlah pernyataan bahawa setiap orang adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya itu. Persoalannya jika anda seorang pemimpin, adakah anda dapat memimpin dengan baik dan berkesan? Begitu juga dengan orang yang dipimpin, adakah anda menjadi pengikut yang berkualiti kesan dari orang yang memimpin anda itu? Apakah yang dikatakan dengan pemimpin yang berkaliber dan pengikut yang berkualiti dalam konteks pengurusan di dalam organisasi.
Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada gaya kepimpinan yang ada di kalangan pengurus dalam organisasi tersebut. Ini kerana kesediaan dan komitmen orang yang dipimpin dalam organisasi amat bergantung kepada kemampuan pemimpin itu mempengaruhi dan meyakinkan mereka dalam membuat sesuatu tindakan. Selain itu, kepimpinan yang berkesan memberikan kepuasan kepada pengikut dan ini secara tidak langsung akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang.
Dipetik dari kata-kata Urwick, ’sekiranya manusia mahu melaksanakan sesuatu tugas dengan penuh semangat dan dedikasi, maka dua syarat perlu dipenuhi. Pertama, objektif sesuatu usaha atau tenaga yang digembelingkan itu mestilah selaras dengan tahap keyakinan semua pihak yang terlibat. Kedua, terdapat satu bentuk kepimpinan yang menjadi sumber inspirasi melalui kaedah latihan dan tunjuk ajar yang berkesan dan positif’. Pernyataan ini menjelaskan bahawa jika seorang pemimpin itu ingin memastikan matlamatnya tercapai, maka kerjasama dan penyatuan dari pengikut adalah penting berdasarkan gaya pimpinannya yang positif dan membina.
Kepimpinan melibatkan keupayaan dan kekuatan untuk meyakinkan orang lain bekerja keras ke arah mencapai matlamat melalui kebolehan dan kemahiran untuk pengikut mencapai matlamat bersama. Ini kerana pengikut menentukan sama ada seseorang pemimpin itu diterima atau sebaliknya.
Namun begitu, perlu difahami pengurus dan pemimpin adalah personaliti yang berbeza seperti yang dinyatakan oleh Greenberg dan Baron (1995). Seorang pemimpin berbeza dengan pengurus kerana sifatnya yang inovatif, membangunkan matlamat, memberikan inspirasi, membangunkan strategi, mencipta wawasan dan sedia mencabar status quo. Dibandingkan dengan seorang pengurus yang kebiasaannya mentadbir, mengekalkan matlamat, mengawal, melaksana wawasan dan menerima status quo.
Adakah anda pemimpin yang berkarisma? Pemimpin yang bercirikan karisma ini adalah seorang pemimpin yang mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam mendorong, mengarah dan mempengaruhi pengikut supaya dapat menjalankan tugas mereka sebaik mungkin. Pemimpin jenis ini juga dapat mempamerkan kemampuan yang luar biasa sehingga beliau disanjung oleh pengikut mereka kerana kredibilitinya yang menyerlah. Selain itu, sifatnya yang yakin, berwawasan, sensitif kepada perubahan dan sebagai agen kepada perubahan menjadikan pengikut yakin dan meletakkan harapan tinggi kepada pemimpin untuk melestarikan matlamat yang digariskan oleh organisasi demi kejayaan bersama.
Pemimpin transformasional pula akan memberikan perhatian dan tumpuan kepada pembangunan keperluan individu pengikut. Selain itu, pemimpin ini bertindak mengubah pandangan pengikut mengenai beberapa isu dengan membantu mereka melihat permasalahan lama dengan menggunakan kaedah penyelesaian baru secara efektif. Minat para pengikut juga turut dibangunkan, membangkitkan kesedaran serta merangsang pemikiran pengikut supaya mereka dapat menyumbang lebih dari apa yang ditetapkan oleh organisasi.
Secara umumnya, pemimpin juga seharusnya menyediakan rangsangan intelektual, didikan dan dorongan secara terbuka kepada pekerja untuk mengelakkan mereka daripada ’sindrom keselesaan’ dan tidak mahu perubahan menjadi dasar baru dalam organisasi. Perlu juga diwujudkan budaya terbuka yang menyeluruh supaya matlamat organisasi dapat dicapai secara total. Mengapa tidak diiktiraf ombudsman sebagai satu budaya dalam organisasi supaya pengikut saling menghormati pekerja yang pakar dan telah lama berkhidmat dalam organisasi. Ini memberikan pengiktirafan kepada mereka sekaligus, menganggap pemimpin menghargai pekerja.
Pembuatan keputusan yang baik dalam organisasi juga amat bergantung kepada pemimpin kerana keputusan yang tepat dan berkesan perlu diterjemahkan oleh pemimpin secara keseluruhannya. Keputusan yang bijak adalah tanggungjawab pemimpin setelah mengambilkira faktor yang berkaitan.
Sebagai pengikut kepada pemimpin, adakah kita pada hari ini lebih imaginatif, kreatif dan inovatif dalam mengembeling usaha memartabatkan organisasi. Adakah kita sebagai orang yang dipimpin hanya bertindak sebagai pengikut pasif tanpa memberikan kerjasama walaupun pemimpin telah mempamerkan gaya kepimpinan yang cemerlang. Untuk menjadi pengikut atau pekerja yang cemerlang empat kualiti yang dinyatakan oleh Robbins (2001) perlu diambil kira iaitu mengurus diri dengan baik, memberikan komitmen yang tinggi kepada matlamat yang digariskan, membangunkan semangat serta menumpukan usaha untuk mencapai kesan yang maksimum dan yang terakhir perlulah jujur dan berkemampuan memberikan idea yang bernas.
Kejayaan merealisasikan matlamat adalah bergantung kepada kesediaan pemimpin untuk menyediakan ruang kepada pengikut untuk menyumbangkan tenaga mahupun idea. Pemimpin perlu peka bahawa sikap mempercayai dan yakin terhadap kebolehan pekerja adalah penting bagi memastikan pencapaian prestasi pekerja terus meningkat dibawah gaya pimpinannya.
Seperti kata pepatah Inggeris ’Bad followers mirror the bad leaders’, pepatah ini tidak seharusnya berlaku dalam organisasi tempat kita bekerja kerana pemimpin dan yang orang dipimpin adalah seiringan dan saling memberikan refleksi di antara keduanya. Kepimpinan yang cemerlang adalah terbentuk melalui gaya memimpin yang cekap menggunakan kualiti diri serta berjaya mengemudi pengikut ke destinasi yang betul.
Artikel ditulis oleh :
Maizura Bt Mohamad
Jabatan Pengurusan Perniagaan
Tarikh : 29 Jun 2010
Rujukan :
Journal of Occupational and Organizational Psychology (1997), Transactional Vs Transformational Leadership: An Analysis of the MLQ, Great Britian
Barbara Kellerman (2000), Bad Leadership, Harvard Business School Press
John P. Kotter (1975), What Leaders Really Do, HBR Printing
Razali Mat Zin (1996), Kepimpinan Dalam Pengurusan, Utusan Publications & Distribution Sdn Bhd





