Meja MPP
Ucapan alu – aluan YDP Majlis Perwakilan Pelajar
Assalamualaikum wbt..
Saya merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kolej RISDA Kampus Melaka kerana telah memberi peluang untuk menerajui pucuk pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Kolej RISDA Kampus Melaka. Sesungguhnya peluang yang diberi tidak akan dipersia dan digunakan dengan penuh rasa tanggungjawab ke arah membentuk komuniti pelajar ke tahap yang lebih cemerlang tidak kira dari segi akademik mahupun sahsiah diri. Secara umumnya seperti mana yang kita ketahui fungsi Majlis Perwakilan Pelajar ini sebenarnya adalah untuk menjaga kebajikan pelajar – pelajar Kolej RISDA dan juga membentuk disiplin diri yang jitu dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berpotensi.
Selaras dengan hasrat kolej untuk melahirkan pelajar yang mempunyai anjakan paradigma yang tinggi, berbagai aktiviti di rangka demi menjaga dan membentuk imej yang mantap. Antara objektif lain adalah untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu persatuan di kalangan pelajar-pelajar kolej disamping melatih kepimpinan dan membentuk sahsiah pelajar yang seimbang antara akademik, bukan akademik dan kerohanian. Agenda yang direncanakan juga banyak menerapkan nilai-nilai akademik dalam projek-projek kegiatan pelajar. Pelajar juga banyak didedahkan kepada kegiatan ko-kurikulum yang dapat melatih pelajar untuk bersikap lebih aktif.
Selain itu juga saya percaya bahawa dengan cara ini ia dapat mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan kaum. Sekalung budi dan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar Kolej RISDA kerana telah sama – sama berusaha mengembangkan dan membawa kemajuan dalam aktiviti dan persatuan yang dibentuk. Semoga usaha keringat kita semua diberkati dan dilimpahi dengan seribu hikmah yang dapat diguna pakai untuk meneroka kejayaan yang terbilang. Moga nama Kolej RISDA akan kekal mewangi dan dikenang sebagai sebuah institusi pendidikan yang gemilang.
Sekian, terima kasih.





