Latarbelakang
KOLEJ RISDA Sdn Bhd merupakan badan korporat di bawah Akta Syarikat 1965 yang beribu pejabat di KM 7, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur. Kampus induknya iaitu Kolej RISDA Kampus Melaka adalah kampus berdaftar sebagai Institut Pengajian Tinggi Swasta di bawah Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Mendukung aspirasi sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang proaktif dalam melaksanakan usaha membangunkan sumber manusia secara holistik ke arah mencapai kecemerlangan bersepadu, Kolej RISDA giat menjalankan transformasi bagi menjana modal insan yang berketerampilan dan kompeten. Sebagai sebuah pusat ilmu yang memfokus kepada bidang pertanian, ICT dan keusahawanan, Kolej RISDA dikatakan mampu meningkatkan ekonomi Negara dengan melaksanakan transformasi dalam sektor pertanian yang berteknologi tinggi, sejajar dengan motto kolej iaitu melestari kehijauan merentasi kemampuan.
Tenaga penggerak kolej terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar-belakang pendidikan, minat, kecenderungan dan disiplin ilmu seperti di bidang agrosains, kejuruteraan, perundangan, keusahawanan dan ICT. Untuk menjadi sebuah institusi pengajian tersohor yang menghasilkan ahli profesional yang menepati kehendak pasaran juga keperluan teknologi masa depan, jalinan bersekutu telah dibina antara Institut Pengajian Tinggi Awam yang terbaik di Malaysia seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk beberapa program kerjasama yang ditawarkan. Terbaru pula Kolej RISDA bakal menjalankan kerjasama dengan beberapa buah lagi Institusi Pengajian Tinggi yang lain seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Pertanian Bogor,Indonesia.
“Kampus Dalam Taman” menjadi tunggak utama dalam penyediaan prasarana dan persekitaran Kolej RISDA Kampus Melaka, justeru menjadikan kampus ini unik selain dari kredibilitinya dalam bidang pendidikan. Kemudahan infrastruktur yang lengkap serta selesa mampu memacu ke arah institusi pengajian tinggi yang inovatif.
Kemudahan Kolej
Kolej RISDA Kampus Melaka menjanjikan persekitaran pembelajaran yang nyaman dan segar di sebalik kehijauan landskap, bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di tengah-tengah ketenangan desa Ayer Pa’abas. Ia menyediakan pelbagai kemudahan yang kondusif seperti :

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Suasana persekitaran yang nyaman dikelilingi kehijauan semulajadi menghasilkan situasi yang kondusif bagi menjana kecemerlangan pembelajaran.
BANGUNAN PENTADBIRAN
Bangunan yang terletak berdekatan pintu masuk merupakan pusat pentadbiran utama Kolej RISDA Melaka. Di sinilah menjadi medan untuk Pengarah, unit Hal Ehwal Pelajar, Kewangan, Pendaftar dan Bendahari bernaung termasuk bangunan pejabat staf akademik.
SURAU
Surau juga disediakan dan dilengkapi dengan tempat solat utama dan bahan bacaan Agama untuk kegunaan semua pelajar dan warga kampus.
PADANG SUKAN DAN GELANGGANG PERMAINAN
Kemudahan untuk bersukan dan riadah juga disediakan bagi melahirkan pelajar yang sihat dari segi fizikal dan mental. Ianya menjadi tempat reakreasi untuk permainan seperti bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan sebagainya.
PERPUSTAKAAN
Antara fasiliti kondusif lain yang disediakan ialah perpustakaan Kolej RISDA Melaka yang mempunyai koleksi sumber bahan rujukan merangkumi pertanian, landskap, perakaunan, keusahawanan dan ICT. Terdapat juga koleksi bidang saintifik seperti fizik, kimia, matematik serta bacaan umum.
KAFETERIA
Kafetaria Kolej RISDA Melaka menyediakan pelbagai pilihan makanan pada harga yang sangat berpatutan untuk semua warga kampus.
PERKHIDMATAN BAS
Pentadbiran Kolej RISDA Melaka menyediakan perkhidmatan bas berhawa dingin untuk kegunaan pelajar. Perkhidmatan percuma ini disediakan untuk perjalanan asrama pelajar ke kampus bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam. Perkhidmatan bas tambahan juga disediakan untuk program semester khas, peperiksaan akhir dan juga semasa cuti semester bergantung kepada aktiviti pelajar.
KEMUDAHAN ASRAMA
Kolej RISDA menyediakan kemudahan asrama yang selesa serta suasana kondusif dan ceria dengan dihiasi senitaman landskap berwarna warni yang mampu menjadi terapi minda. Setiap kolej kediaman dilengkapi dengan perabot dan dipantau oleh staf dan pengawal keselamatan.Terdapat tiga kolej kediaman yang disediakan iaitu :
- Kolej kediaman Asrama Putera dan Asrama Puteri kampus Kolej RISDA Melaka
- Kolej kediaman Hotel Samudera Masjid Tanah, Melaka
- Kolej kediaman KRISM Lendu Alor Gajah, Melaka
Kemudahan (sambungan)
KEMUDAHAN WiFi
Kemudahan wireless juga disediakan disekitar kampus dan perpustakaan yang bertujuan untuk memudahkan para pelajar untuk mengakses internet mencari sumber rujukan serta bahan pembelajaran.
PEMBIAYAAN
Pelajar yang berkelayakan menerima pinjaman dan biasiswa akan diuruskan oleh pihak kolej untuk menampung yuran pembelajaran dan asrama sepanjang tempoh pengajian.
KONVOKESYEN
Merupakan istiadat yang berprestij diadakan untuk meraikan graduan - graduan yang telah tamat pengajian dengan cemerlang di Kolej RISDA Melaka.







